31 August 2016

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 59

CeritaKembaraKami mengucapkan Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 59 buat semua pembaca blog CeritaKembaraKami dan seluruh rakyat Malaysia. Sempena sambutan merdeka tahun ini, jom tengok bagaimana Adam, Ilman dan Sarah sambut merdeka di perantauan dengan 'playground' yang dibangunkan sendiri oleh mereka dalam video timelapse berdurasi 35 saat ini:




Selamat Hari Merdeka ke-59 dari kami dan rakan-rakan di Ireland!


read more "

11 August 2016

Panduan melancong ke Switzerland bersama anak-anak








Switzerland negara paling cantik dan paling mahal di eropah untuk melancong. Tetapi setiap swiss franc yang anda keluarkan pasti berbaloi! Anda tidak mungkin dapat melihat panorama yang sama di tempat lain. Jika anda sedang merancang untuk melancong ke Switzerland bersama anak-anak kecil anda boleh menggunakan panduan berikut:

1) Cadangan itinerari


Saya tidak akan cadangkan banyak tempat di Switzerland kerana kebiasaannya pelancong yang berkunjung ke Switzerland pasti akan berkunjung ke 2 atau 3 negara eropah yang lain juga. Contoh trip eropah yang hanya melibatkan 3 negara ialah Italy-Switzerland-Germany. Jadi masa dan wang merupakan faktor yang saya ambil kira. 

4 tempat menarik di Switzerland dan sesuai untuk seisi keluarga ialah: Bern - Lauterbrunnen - Jungfraujoch. Jika anda tiba dari Malaysia atau London, anda mungkin akan tiba di Geneva dahulu. Sekiranya anda melancong ke Italy sebelum ke Switzerland, kemungkinan anda datang dari Milan. Sekiranya anda menaiki kapal terbang murah dari mana-mana negara eropah, kemungkinan anda akan tiba di Basel dahulu. Maka adakan perjalanan ke Bern sama ada menaiki train, kereta sewa ataupun bas. 

Cadangan itinerari bermula di Bern, Switzerland.

Hari pertama: Melawat Bern. Bermalam di Bern.

Hari kedua: Bertolak ke Lauterbrunnen. Singgah sebentar melawat Interlaken dan kemudian ke   Lauterbrunnen. Bermalam di Lauterbrunnen.

Hari ketiga: Bertolak ke Jungfraujoch. Bermalam di Lauterbrunnen.

Hari keempat: Bertolak pulang atau ke negara eropah yang lain.

Bern 


Anda perlu melawat Bern sekiranya melancong ke sini kerana Bern merupakan ibu negara bagi Switzerland. Sebuah bandar yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisi madieval. Luangkan sepanjang hari anda di Bern. Antara tempat menarik yang wajib pergi di Bern ialah:


1) Old Town Bern





2) Gurten Park


Gurten park merupakan taman rekreasi untuk seisi keluarga. Anak-anak pasti suka bermain di sini. Untuk sampai ke kawasan ini anda perlu menaiki Gurtenbahn untuk sampai ke puncak bukit Gurten. Di taman ini terdapat pelbagai permainan yang menarik antaranya ialah miniature train, wooden climbing, kiddie cars dan macam-macam lagi. Boleh bawa bekal makanan kerana kawasan ini sesuai untuk berkhelah.








3) Clock Tower


Ukiran Clock Tower yang terletak di Bern lebih kurang sama seperti Prague Clock Tower. Saya rasa fungsinya juga sama. Clock tower berada di Bim Zytglogge 3.






4) Einstein museum/Einsteinhaus


Jika anda tidak singgah terlalu lama di Gurten Park, anda mungkin sempat ke Einstein museum yang terletak berhampiran Clock Tower. Hanya lebih kurang 10 minit berjalan kaki menyeberangi sungai Aare. Einstein museum atau Einsteinhaus merupakan kediaman saintis terkenal Albert Einstein suatu masa dahulu.




Interlaken


Interlaken bermaksud 'di antara dua tasik' merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di antara dua tasik iaitu Brienzersee dan Thunersee. Pemandangan di kawasan Interlaken cukup cantik. Anda boleh menaiki keretapi di stesen keretapi Interlaken iaitu Interlaken OST dan Interlaken West untuk ke beberapa tempat tarikan pelancong antaranya ke Jungfrau. Jika anda singgah di Interlaken jangan lupa ke Unterseen iaitu pekan kecil berhampiran Interlaken West Train Station. Anda boleh bersiar-siar di pekan ini dan singgah di Coop supermarket. Barang-barang runcit dan coklat dijual dengan harga agak murah di Coop supermarket berbanding di tempat lain.




Lauterbrunnen


Lauterbrunnen merupakan pekan kecil dan anda hanya perlu berjalan kaki sahaja sekiranya ingin bersiar-siar di kawasan ini. Boleh juga menyewa basikal.

1) Lauterbrunnen town

Pekan ini juga cantik seperti Interlaken. Dari Lauterbrunnen terus ke Kleine Scheidegg dengan menaiki train untuk ke puncak Jungfrau iaitu Jungfraujoch.




2) Staubbach Falls


Terletak di tengah-tengah pekan Lauterbrunnen. Air terjun ini menambah keindahan panorama pekan Lauterbrunnen. Tiada aktiviti spesifik bersama anak-anak di sini. Cukup hanya jalan-jalan sambil menikmati keindahan alam. 



Jungfraujoch


Anda perlu ke Top of Europe gelaran bagi Jungfraujoch sekiranya berkunjung ke Switzerland. Stesen keretapi tertinggi di eropah terletak 3454 m dari aras laut!

Harga tiket ke Jungfraujoch walaupun mahal namun berbaloi kerana anda boleh melawat ke 3 tempat menarik secara percuma iaitu Ice Palace, Alpine Sensation dan The Sphinx. Manakala untuk bermain salji di snow fun Park, ada bayaran tertentu dikenakan untuk menyewa baju dan alatan.

Perlu semak dahulu cuaca di Jungfraujoch sebelum membeli tiket. Kerana jika cuaca tidak elok atau kabus tebal, sia-sia sahaja anda ke sana kerana banyak aktiviti yang tidak boleh dilakukan. Nak bergambar pun hambar!





1) Ice tunnel/Ice cave/Ice Palace

Ice tunnel ini adalah hasil kerja tangan sekitar tahun 1930 dahulu. Di dalam gua ini terdapat ukiran-ukiran haiwan yang diukir daripada ais sebagai hiasan.




2) Snow Fun Park



Harga tiket di snow fun park

3) The Sphinx observatory

Dari The Sphinx observatory, anda berpeluang melihat kecantikan dan keunikan Glacier disekeliling kawasan Jungfrau.





4) Adventure tour Alpine sensation 

Alpine sensation merupakan terowong ais yang panjangnya 250 m menghubungkan Ice Palace dan The Sphinx. Pameran dinding dan muzik sepanjang terowong ini mewujudkan suasana Jungfrau zaman dahulu dan sekarang.




2) Pengangkutan di Switzerland


1) Kereta sewa


Anda boleh menyewa kereta dari airport. Rata-rata harga sewa kereta (muat 5 orang) sekitar Eur 270 untuk 4 hari. 

Tempat paling jauh (sebelum ke Jungfrau) yang anda boleh pergi sekiranya memandu sendiri ialah Lauterbrunnen. Dari Lauterbrunnen atau Interlaken anda perlu menaiki train ke Kleine Scheidegg. Parking kereta di hotel sahaja, jalan kaki ke Lauterbrunnen train station kerana bayaran parking mahal dan selalu tiada ruang kosong. Anda perlu tiba seawal 8 pagi untuk membeli Good Morning tiket pada harga promosi CHF 145 (pergi-balik) bagi seorang dewasa. Kanak-kanak di bawah 6 tahun percuma. Dan seorang kanak-kanak berumur 6-15 tahun percuma dengan setiap pembelian 1 tiket dewasa. Masa promosi Good Morning ticket hanyalah bagi tiket pukul 8 pagi dan 8.30 pagi sahaja tetapi perlu bertolak pulang dari Jungfraujoch ke Kleine Scheidegg pada pukul 1 petang. Sekiranya anda terlepas waktu ini (8.00 dan 8.30 pagi), harga tiket seorang dewasa ke Jungfraujoch ialah CHF 204.40 (pergi-balik).

2) Train/bas/kereta kabel/bot


Jaringan pengangkutan awam di Switzerland memang terbaik! Sekiranya anda ingin menggunakan sepenuhnya pengangkutan awam sepanjang di Switzerland, saya cadangkan anda beli Swiss Pass. Untuk tiket second class bagi dewasa, 4 hari berharga CHF 251. Jika 3 hari CHF 210. Saya cadangkan cukup untuk 3 hari sahaja memandangkan hari keempat bertolak pulang, boleh beli tiket asing untuk ke airport. Lebih jimat dari beli 4 hari. 

Untuk ke Jungfraujoch, sekiranya anda memiliki Swiss Pass, Swiss half fare card, Eurail Global pass, anda boleh dapat diskaun sebanyak 25% dari harga asal. Maknanya anda hanya perlu membayar sebanyak CHF 153.30. Good morning ticket lebih jimat cuma tidak punya banyak masa di Jungfraujoch kerana perlu turun dari Jungfraujoch pada pukul 1 petang.


Selamat melancong ke Switzerland! Perlu panduan ke eropah bersama anak-anak? Boleh baca di sini. Klik. 



read more "

10 August 2016

10 Tempat menarik di Ireland untuk dikunjungi bersama anak-anak

Ireland jarang mendapat tempat di hati pelancong mungkin kerana kedudukan negaranya yang terpisah dari tanah besar eropah. Pelancong yang datang melancong ke eropah, contohnya ke Germany, perlu menaiki feri atau kapal terbang untuk ke Ireland pula berbanding jika pergi ke negara eropah yang lain seperti Switzerland, Italy, Perancis dan lain-lain lagi. Faktor inilah yang menyebabkan jarang ada pelancong memilih Ireland sebagai destinasi untuk trip pertama kali ke eropah.




Pandangan peribadi saya, Ireland sebuah negara yang cantik dan cukup istimewa. Kunjungan anda ke Ireland pasti membawa pulang kenangan-kenangan manis. Di Ireland juga kurang scammers dan InsyaAllah lebih selamat serta tenteram melancong di sini berbanding di negara eropah yang lain.

Jika anda merancang untuk berkunjung ke Ireland bersama keluarga, saya cadangkan anda pergi melawat ke 10 tempat menarik ini.


10 tempat  yang boleh anda kunjungi:


1) Zoo


Zoo ialah tempat yang paling seronok bagi kanak-kanak. Di sini mereka boleh bebas berlari sambil melihat pelbagai jenis haiwan yang selama ini mereka lihat dalam buku atau TV sahaja. Di Ireland terdapat 3 zoo iaitu Belfast Zoo, Dublin Zoo dan Fota Wildlife Park, Cork.




2) Butlers Chocolate Factory


Butlers merupakan coklat buatan Ireland. Jenama ini memang popular di kalangan pelancong yang pernah berkunjung ke Ireland. Anda boleh membawa anak-anak melawat kilang coklat ini yang terletak di Dublin. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini. Anda dan anak-anak bukan sahaja berpeluang membuat coklat sendiri bahkan boleh menikmati keenakan coklat Butlers yang semestinya terbaik!




3) Castle


Ireland dan castle memang tidak boleh dipisahkan. Castle merupakan salah satu landmark Ireland. Jadi anda wajib berkunjung ke salah sebuah castle daripada beratus castle yang dibina di Ireland. Ada yang masih elok dijaga. Ada yang sudah terlalu usang dimamah usia. Melawat castle menarik juga. Biar anak-anak kita belajar tentang sejarah. Tonton video pemandangan di Roscommon castle di sini. Klik.




4) Berkhelah di Glendalough


Jika anda melancong ke Ireland pada musim panas, guna peluang ini untuk bawa anak-anak berkhelah di Glendalough-World Heritage Site yang terletak di county Wicklow. Lebih kurang 45 minit dari pusat bandar Dublin. Glendalough merupakan salah satu daripada tempat tercantik dalam senarai destinasi wajib kunjung di Ireland. Anda boleh rehatkan minda dan fikiran sementara anak bebas bermain di kawasan yang luas. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti trekking sambil melihat keindahan tasik dan lereng bukit, berkayak, picnic dan macam-macam lagi. Lengkap dengan segala kemudahan seperti cafe dan tandas.

Baca entri Trekking di Glendalough di sini. Klik.




5) Melihat Dolphin


Ada dua tempat yang anda boleh naik bot sambil dikejar ikan Dolphin! Sama ada anda ke Dingle di co. Kerry ataupun Aran Island di Galway.  Ambil pakej boat tour. Anak-anak pasti seronok melihat dolphin berenang di sebelah mereka!

Rakaman video Fungie si Dolphin kesayangan tiba-tiba muncul di bot bersebelahan dengan bot kami.






6) Melawat akuarium


Guna kesempatan ini untuk memperkenalkan hidupan air kepada anak-anak. Galway Aquarium merupakan salah satu destinasi pilihan ibubapa sekiranya berkunjung ke Ireland. Lokasi Galway Aquarium terletak di pinggir laut di Salthill. Kawasan ini terkenal dengan seafood restaurant dan merupakan kawasan yang sangat happening ketika musim panas.



7) Beri rusa makan di Pheonix Park


Selesai sesi di Dublin zoo, bawa anak bersiar-siar di Pheonix Park yang terletak bersebelahan dengan Dublin zoo. Jangan risau tentang kos. Masuk percuma sahaja! Ala-ala safari pula bila dapat lihat rusa liar depan mata. Jinak pula tu! Jangan lupa bawa lobak segar untuk bagi rusa makan.




8)National Leprechaun Museum di Dublin


Pengalaman menjadi orang kerdil memang satu memori indah! Di Dublin, ada sebuah muzium yang menjanjikan pengalaman luar biasa.. ala-ala fairy tale di National Leprechaun Museum. Leprechaun merupakan watak orang kerdil dari cerita dongeng rakyat Irish yang sangat popular sehingga diangkat menjadi mascot utama Ireland.





9)Pet Farm



Anak-anak pasti suka belai bulu biri-biri. Ada pelbagai jenis haiwan di pet farm antaranya arnab, meerkat, itik, tupai dan pelbagai lagi. Pet farm terbesar di Ireland terletak di county Roscommon iaitu Glendeer Pet Farm.




10) Petik epal


Sekiranya anda melancong ke Ireland pada bulan Oktober, anda berpeluang untuk menikmati keenakan epal Ireland yang manis dan rangup di Cahir Apple Farm. Masuk percuma. Anda boleh makan sambil petik boleh juga beli bawa pulang. Ada jus epal dan jem epal dijual di ladang ini.

Baca pengalaman kami petik epal di Cahir. Klik.






Terima kasih mengunjungi blog Cerita Kembara Kami. Selamat melancong ke Ireland!



read more "

8 August 2016

5 perkara wajib buat di Paris

Paris berada di kedudukan nombor satu dalam senarai bandar tumpuan pelancong serata dunia menurut data yang dikeluarkan oleh United Nation World Organization's (UNWTO) pada tahun 2015. 

Bandar ini terkenal sebagai kota cinta dan sering menjadi destinasi pilihan untuk berbulan madu. Bagi mereka yang gemar barangan berjenama, Paris merupakan syurga fesyen dunia dengan lambakan butik jenama terkenal.

Untuk kali ini saya ingin kongsikan 5 perkara wajib buat sekiranya anda berkunjung ke Paris. 

1) Bergambar


Rutin setiap kali melancong adalah bergambar supaya segala memori indah dapat disimpan. Ada banyak tempat menarik dan bersejarah di kota Paris ini. 4 tempat popular di Paris yang ingin saya kongsi dan menjadi landmark kota ini ialah:

1) Eiffel Tower


Eiffel tower merupakan menara besi berketinggian 300 m dibina di Champ de Mars di tengah-tengah kesibukan kota Paris.

Eiffel tower dari kejauhan


2) Louvre Pyramid


Tapak lokasi pengambaran filem The Da Vinci Code ini menjadi tumpuan pelancong kerana di sini terdapatnya muzium yang menyimpan lukisan asal Monalisa yang dilukis oleh pelukis terkenal Leonardo Da Vinci. Bayaran masuk ke muzium ialah Eur 15. Tetapi jika anda kurang meminati seni lukisan, saya cadangkan cukuplah bergambar di sisi piramid kaca ini!



Pyramid Louvre sesak dengan pelancong


3) Arc de Triomphe


Monumen ini paling popular di Paris. Tingginya 50 m terletak di tengah-tengah bulatan sesak Place Charles de Gaulle. Asal pembinaannya untuk memperingati jasa pejuang Perancis yang terkorban sewaktu Revolusi Perancis.



Arc de Triomphe tidak pernah sunyi dari menerima kunjungan

4) Pont Neuf


Pont Neuf merupakan jambatan tertua di Paris yang dibina merentangi sungai Seine bertentangan dengan Eiffel tower. Di atas jambatan ini dibina patung King Henri IV. Di sepanjang jambatan Pont Neuf ada jualan cenderamata oleh penjual jalanan.



Sungai Seine mengalir tenang di bawah jambatan


2) Jalan-jalan cari makan



Ada banyak agensi pelancongan yang menawarkan khidmat food tour. Namun bayarannya agak mahal. Bagi yang ingin berjimat anda boleh jalan-jalan cari makan sendiri! Di Paris anda perlu cuba senarai restoran dan makanan yang saya kongsikan ini:

1) Macaroon


Macaroon asalnya dari Itali kemudian menjadi popular di Paris. Walaupun macaroon sudah terkenal serata dunia, setiap pelosok bandar ada sahaja kedai yang menjual macaroon namun saya tetap pilih macaroon Paris kerana keunikannya yang tersendiri. Dua kedai macaroon yang tersohor di Paris ialah Pierre Herme dan La Duree. Ingin baca entri review tentang macaroon Paris boleh baca di sini. Sila klik. 


Jika Paris itu kota cinta, macaroon ini manisan cinta!

2) Churros dan croissant


Kali pertama saya jatuh cinta pada churros adalah semasa di Paris. tidak pernah rasa churros sedap seperti itu. Lembut, lemak di bahagian dalam, luarnya rangup dan tidak berminyak. Dicicah bersama coklat cair. 


Croissant khabarnya berasal dari Perancis. Perasa asli croissant ialah mentega namun sekarang ada pelbagai perasa dijual di kedai bakeri dan pastri.



3) Belacan Paris


Milik warga Malaysia yang menetap di Paris. Bagi mereka yang tiba-tiba rindu masakan asia di tengah-tengah kota Paris. Anda boleh hubungi Belacan Paris yang menawarkan perkhidmatan penghantaran hingga ke destinasi pilihan anda. Harga setiap menu juga amat berpatutan.

Halaman instagram milik Belacan Paris

3) Shopping


Membeli belah merupakan terapi untuk kaum wanita. Pandangan peribadi saya kaum lelaki juga suka aktiviti ini. Tiba sahaja di Paris anda disajikan dengan pelbagai butik berjenama dari beratus pereka fesyen terkenal di dunia. 

Antara kawasan membeli belah yang boleh anda kunjungi di sini ialah:

1) Gallery La Fayatte


Melangkah masuk ke dalam Gallery La Fayatte anda pasti terpegun. Rekabentuk bangunan yang cukup unik dan mewah. Pelbagai jenama ada di sini.



2) La Vallee Outlet


La Vallee outlet terletak di Serris 35 minit dari pusat bandar Paris. Juga merupakan kawasan barangan berjenama terkenal. Lazimnya harga yang ditawarkan jauh lebih murah cuma design agak terhad. 




3) Champs-Elysees


Kawasan sepanjang jalan menuju ke Arc de Triomphe menempatkan barisan butik-butik berjenama terkenal. 




4) Hiburan anak-anak



Bagi mereka yang bercuti bersama anak-anak, 2 tempat menarik yang pasti memberi kenangan indah buat anak-anak ialah:

1) Disneyland Paris


Taman tema yang pasti menjanjikan keseronokan buat anda seisi keluarga. Terletak bersebelahan dengan Disneyland Village. Sehari suntuk menghabiskan masa di sini pun tidak terasa. 



2) Disneyland village


Disneyland village merupakan outlet yang menjual permainan kanak-kanak yang berjenama seperti Lego, Barbie, Toy stories dan pelbagai lagi.



5) Awasi scammers


Meskipun ini bukan topik menarik tetapi anda wajib tahu dan perlu berhati-hati. Sebilangan besar pelancong yang berkunjung ke Paris membawa pulang kenangan hitam sewaktu melancong ke sini. Anda perlu berhati-hati dengan penyeluk saku licik dan taktik-taktik scammers di kota ini. Boleh baca taktik scammers di entri ini. Sila klik.


Selamat melancong ke Paris!


read more "

7 August 2016

Teh Twinings - Sedap!

Layan minum teh di kala suhu sejuk memang umph! Jika di Malaysia, kita biasa minum teh di petang hari yang kita panggil 'minum petang'. Kebiasaanya sekitar jam 5.00 petang sehingga 6.00 petang. Tetapi di eropah, ketika musim sejuk (winter) memang tidak berpeluang langsung nak menikmati suasana petang hari sambil minum teh pada pukul 5! Ini kerana pada musim sejuk, malam lebih panjang daripada siang. Matahari terbenam sekitar pukul 4.15 petang dan terbit sekitar pukul 8.30 pagi. Jadi kita minum malam sajalah. Hahaha.

Bercerita tentang teh, saya nak perkenalkan teh jenama Twinings. Pernah dengar? Teh Twinings ini sememangnya terkenal dikalangan penggemar teh. Jika di Malaysia harganya sekitar RM 15 sehingga RM 30 sekotak berbeza mengikut perasa. Ada dua perasa baru teh Twinings iaitu perasa Blackcurrant & Blueberry dan Settling Ginger

Twinings perasa Blackcurrant & Blueberry sesuai di minum pada waktu petang. Rasanya yang 'light' dengan aroma buah-buahan sesuai di minum sejuk atau panas. Tiada pewarna dan perasa tiruan digunakan untuk menghasilkan teh yang cukup sempurna ini. 






Kandungan tambahan yang menambah sedap rasa teh!


Saya suka minum teh Twining Settling Ginger ini pada waktu malam. Selepas makan malam sambil istirehat di ruang tamu. Rasanya seperti air halia original. Letak sedikit madu untuk rasa manis.  Tapi kalau minum kosong sahaja pun sedap! Rasa ringan saja badan. Selalunya saya akan letak 2 uncang teh, memang rasa 'kaw' sangat!

Saya pernah minum teh ini ketika sedang sakit kepala. Minum 2 uncang teh settling ginger panas-panas, kemudian tidur. Nyenyak. Alhamdulillah.









Kenapa saya suka Twinings? Twinings bukan teh biasa-biasa yang ditambah pewarna dan perasa tiruan. Twinings menggunakan perasa asli dan semulajadi.Ada pelbagai lagi perasa teh Twinings. Berminat boleh dapatkannya di sini. Klik. 




read more "

6 August 2016

Riang ria Aidilfitri 2016 di bumi Irish

Assalamualaikum dan salam 30 Syawal.. akhirnya sempat juga saya berkongsi entri tentang raya di perantauan walaupun di penghujung Syawal. Bak menutup tirai pula ya..

Kelam kabut persiapan raya


Tahun 2016 ini merupakan tahun terakhir kami menyambut Aidilfitri di Ireland. Jadi perancangannya, kami ingin ke Lucan untuk bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama warga Malaysia di sana. Ura-ura mengatakan raya atau 1 syawal pada 6 Julai 2016 iaitu bersamaan hari Rabu. Pada petang Isnin kami mendapat berita dari Islamic Cultural Centre Ireland mengatakan 1 syawal ialah pada hari selasa iaitu 5 Julai 2016. 

Terkejut dengan berita yang diterima lantas saya kongsi di laman Instagram 

Beberapa jam selepas itu, ada desas desus mengatakan dua masjid besar di Dublin tidak sepakat dalam menetapkan tarikh 1 Syawal. Masjid Clonskeagh boleh dikatakan 'masjid rasmi' di Dublin mengikut fasa anak bulan yang dari data NASA manakala Dublin Mosque - masjid paling lama bertapak di Dublin memutuskan untuk mengikut Mekah. Kami terkedu seketika. Tidak tahu hendak mengikut yang mana. Beberapa buah tempat di Cork pula ada yang menyambut Aidilfitri pada 5 Julai dan ada yang menyambutnya pada 6 Julai.

Kami menghubungi rakan yang bermalam di Malaysia Hall untuk menyambut Aidilfitri di sana. Pada mulanya pihak Malaysia Hall ada menyatakan secara tidak rasmi sambutan Aidilfitri pada hari Selasa, namun kemudiannya bersepakat untuk menyambutnya pada pagi 6 Julai. Komuniti Islam di Athlone juga bersepakat menyambut 1 Syawal pada 6 Julai. Sementara perancangan awal kami untuk solat raya di Lucan tidak kesampaian kerana tiba-tiba pula pagi 6 Julai encek Z perlu menghadiri kursus. Inilah lumrah menyambut raya di eropah, di negara yang mana penduduk beragama Islam hanya golongan minoriti. Tiada cuti khas sempena Aidilfitri. Maka pagi 1 Syawal, 6 Julai 2016 saya dan anak-anak sahaja yang pergi menunaikan solat Aidilfitri bersama komuniti Islam Athlone. 


Aidilfitri di sli An Aifrinn


Memandangkan Aidilfitri kali ini terakhir menyambutnya di Athlone jadi kami mengambil kesempatan ini untuk berkumpul dengan rakan-rakan Malaysia dan juga Indonesia yang berada di Ireland. Terima kasih sahabat handai yang meluangkan masa untuk berkunjung ke teratak kami di Sli an Aifrinn.


Bersama sahabat dari Roscommon.. Kak Lina dan Abang Rahmat

Sahabat dari Galway - Iqa dan Nasa

Ustazah tajwid saya.. Kak Tie dan suami dari Dublin

Rakan encek Z - Shahboz

Rakan Turki yang sudah lama menetap di Germany - Dilan

Kak Sally dan Kak Erny dari Dublin.. terima kasih sudi datang!

Rakan encek Z

Jiran di Athlone.. keluarga Eta (Malaysia) dan Maya (Indonesia)

Bersama keluarga kak Basmah dari Lucan dan kak Niza


Bersama Hajar dan suami dari Portlaoise


Kak Suzi dan Dr. Fazley dari Mullingar




Bersama komuniti Galway



Bersama keluarga kak Arinah, Kak Ju dan Kak Nora dari Dublin


Syawal terakhir di bumi Shamrock. Jika ada rezeki kita berjumpa lagi Syawal di bumi Malaysia. InsyaAllah.






read more "
Back to Top