18 April 2015

Edisi Jalan-jalan Cari Makan di Manneken Pis

Welcome to Brussels! Capital city of Belgium. Kalau sebut saja 'Belgium' pasti terbayang keenakan Belgian Waffles kan? Belgium memang terkenal dengan waffles dan coklatnya. Jadi bila berkunjung ke Belgium, memang wajib cari dua makanan ini! 

Tapi sebelum itu, nak beritahu di Belgium kami menginap di Hotel Campanile. Kami 5 orang. Tak boleh stay dalam 1 bilik. Terpaksalah booked 2 bilik. Total 2 bilik termasuk city tax di Campanile hotel Eur 95 untuk semalam. 

Rangkaian Campanile Hotel

Risik-risik dari kawan-kawan, kata mereka.. nak cari waffle sedap dan coklat sedap kena pergi kawasan Manneken Pis. Pertama kali dengar Manneken Pis memang totally no idea. Manneken Pis? OK. Mungkin nama tempat. Cari di GPS, baru tahu Manneken Pis tu terletak dalam kawasan pejalan kaki. Di eropah memang sangat terkenal dengan kawasan yang khas untuk pejalan kaki sahaja. Perlu parking di luar kawasan dan berjalan masuk cari kedai.

Inilah Brussels.
Brussels terlalu sibuk. Macam Kuala Lumpur. Penuh dengan kereta, tram, bas dan pejalan kaki.


Tram berkongsi jalan dengan bas, kereta dan pejalan kaki..

Memang sesak bandar Brussels ni. Memang susah kalau nak cari parking di bahu-bahu jalan.




Kami parking dalam bangunan yang kalau ikut arah GPS, bangunan yang paling hampir dengan 'kawasan' Manneken Pis. Setengah jam Eur 4.20. Kemudian jalan kaki susur melalui kedai-kedai. Ada banyak kedai menjual coklat, cenderamata dan waffles. Tapi sebab kawan cadangkan area 'manneken pis' kami pun carilah manneken pis dulu. Dalam hati masih lagi tertanya.. apa ya manneken pis? Silap sendiri juga. Tak study dulu sebelum ke Belgium. 


Letih sangat. Tak upaya nak senyum dah. Yalah.. penat pusing-pusing dalam kereta tadi cari parking...


Jalan kaki lebih kurang 20 minit. Guna Google Maps untuk cari arah ke Mannaken Pis. Sambil-sambil tengok sekeliling kalau-kalau ada kedai bernama 'Manneken Pis'. Atau Jalan yang namanya 'Manneken Pis'. Tapi langsung tiada apa-apa petanda. Tengok peta dalam Google Maps dah semakin menghampiri. Tapi mana? Tiba-tiba kami sampai satu kawasan yang padat dengan orang ramai. Memang tak boleh langsung nak menyelit. Macam ada pertunjukan atau jualan murah pula. Selit punya selit, dapat masuk ruang kecil di celah-celah orang ramai. Perhati saja gelagat mereka. Sibuk ambil gambar penjuru bangunan. Nampak ada satu patung kecil yang diukir dengan aksi sedang buang air kecil. Dah kenapa???


Rupa-rupanya patung itulah 'Manneken Pis' yang dimaksudkan..

Jadi kami dah berjaya jumpa landmark utama yang diberi kawan. Manneken Pis. Patung kecil pakai baju merah. Nak tahu tak? Rupa-rupanya 'Manneken' bermaksud patung. 'Pis' pula bermaksud kencing. Jadinya, patung kencing! Memang sesuai sangatlah dengan keadaan patung tu yang ada air pancut kecil dari patung. Khabarnya dulu-dulu patung ini tak berbaju, agaknya kesedaran moral orang zaman sekarang.. maka mereka pakaikan patung ini baju. Dalam banyak-banyak patung dalam kawasan ini, kenapalah patung itu juga jadi pilihan mereka?

Sumber: Google (Manneken Pis yang asal)

Jika Wiki tentang patung ini, katanya patung asal diletakkan di sini sekitar 1618 atau 1619. Berketinggian 61 cm. Diperbuat daripada tembaga. Namun asyik saja dicuri orang jadi patung asal disimpan di dalam Grand Place. Kiranya yang diluar ini cuma replika Manneken Pis saja yang diperbuat daripada batu. Patung asal direka oleh sculptor terkenal iaitu Hieronimus. Khabarnya dongeng tentang Manneken Pis ini ialah seorang budak lelaki bernama Julianske yang telah membatalkan usaha pihak musuh untuk membakar bandar Brussels dengan cara membuang air kecil di tempat mula-mula dinyalakan api. Maka, bandar Brussels selamat dari kebakaran besar.  Tapi sebenarnya kisah ini baru satu versi.. ada lagi banyak versi yang berbeza-beza tentang Manneken Pis. 





Tengah sesak-sesak tu, ada pula kereta kuda lalu

OK. Kita tinggalkan kisah Manneken Pis di sini. Kembali ke misi utama. Mencari Belgian waffles. Harga untuk basic waffles yang plain.. Eur 1.00. Kalau nak letak macam-macam harga dari Eur 2 hingga Eur 9++. Tapi kalau makan Belgian waffles di Malaysia, tak payah cakaplah harganya. Mahal! Nak tahu juga berapa? RM40++. Huh! 




Doh waffles. Dia bulat-bulatkan. Lepas tu baru masuk dalam acuan waffles. Tekan. 



Ini contoh yang dah siap. Kita tunjuk saja mana yang kita nak. Boleh juga letak aiskrim.

Ini harganya Eur 5.60. Waffles nya agak tebal dan padat berbanding dengan waffles biasa yang kita selalu makan. Lembut di bahagian dalam. Agak rangup sedikit di luar.


Selepas merasa Belgian waffles, nak cari coklat pula. Kami singgah di Mary's chocolate. Ini cadangan daripada kawan kami yang menetap di Brussels. Kami ada cuba juga coklat di kedai lain. Rasanya sama sahaja. Tapi menurut kawan, Mary's chocolate ni yang paling lama bertapak di sini. Kira macam otai jugalah.



Kedai Mary. 









Coklat dijual mengikut berat. Purata harga sebiji coklat Eur 1.

Rasa Belgian chocolate sama saja dengan Butlers. Ataupun coklat-coklat mahal yang lain. Bagi penggemar coklat anda pasti dapat rasa perbezaan coklatnya. Coklat-coklat asli ini tidak sama dengan Cadbury yang agak manis. Rasa coklatnya memang 'just nice'. Semuanya seimbang. Harga Belgian chocolate pula berbeza jika yang homemade seperti di kedai Mary ini lebih mahal dari Belgian chocolate yang dibuat di kilang. Belgian chocolate yang dibuat di kilang ada saja dijual di kedai-kedai cenderamata. 4 atau 5 kotak Eur 10. 

Selesai misi utama kami pada hari ini. Sebelum pulang ke hotel, kami jalan-jalan dulu sekitar Grand Place.



Bergambar di kawasan Grand Place








Untuk keluar dari bandar Brussels, kami lalu satu roundabout. Memang unik hiasan di tengah-tengah roundabout ini. Bukannya bunga. Tapi...

Kontena. Yang terbalik macam ni hah!





Haha. Unikkan? Itu saja catatan kisah kunjungan kami ke Brussels. Baca entri jalan-jalan kami di beberapa tempat lain di Belgium antaranya ialah Mini Europe dan Atomium. Jumpa di entri seterusnya!



No comments:

Post a Comment

Back to Top