27 June 2015

Indahnya 19 jam berpuasa di bumi Shamrock


Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.

Alhamdulillah.. hari ini merupakan hari kesepuluh kami berpuasa di Ireland. Ini merupakan tahun kedua pengalaman kami berpuasa di sini. Kebetulan Ramadhan jatuh pada musim panas. Pada musim panas, sebelah siangnya lebih panjang berbanding malam. Matahari akan terbit sekitar pukul 5 pagi di sini dan akan terbenam sekitar pukul 10 malam. Jauh dari kampung halaman, berpuasa di perantauan lebih pada menghayati Ramadhan sebagai bulan ibadah. Subuh pada pukul 2.55 pagi. Jadi tempoh antara berbuka puasa dan sahur adalah lebih kurang 5 jam sebelum menjelang subuh. 

Antara soalan yang gemar ditanya rakan-rakan dan sanak saudara di Malaysia adalah "Letih tak puasa 19 jam?" "Ada bazaar Ramadhan tak di sana?" "Rindu tak nak puasa di Malaysia?" 

"Letih tak puasa 19 jam?" - Jawapan saya InsyaAllah tidak letih. Berpuasa pada tahun ini amat berbeza dengan tahun lepas. Tahun lepas merupakan pengalaman pertama berpuasa 19 jam kami. Pada waktu itu memang berkeroncong perut, lutut hampir rasa gigil menjelang pukul 9 malam. Ditambah dengan mengurus dan melayan karenah 3 orang anak-anak kecil serta menyusu 2 orang anak serentak yang berumur 2 tahun dan juga yang berumur 5 bulan. Ada kalanya saya tidak berpuasa kerana terlalu letih dan hampir pitam. Namun pada tahun ini, Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Daripada bersahur sehinggalah waktu berbuka puasa. Seolah-olah diberi tenaga lebih Ramadhan kali ini. Kerja rumah dapat dilakukan seperti biasa dan Alhamdulillah tiada masalah menyusukan anak. Apa yang saya amalkan apabila perut tiba-tiba berkeriuk adalah dengan berzikir. Kondisi tiba-tiba lapar itu akan kembali normal :) 

"Ada bazaar Ramadhan tak di sana?" - Soalan ini kadang-kadang buat sana ketawa kecil. Terhibur sedikit buat menghilang penat menguruskan rumah tangga. Sinonim pada bulan Ramadhan di Malaysia yang mana majoriti penduduk beragama islam, bazaar Ramadhan merupakan A-must-destination. Pelbagai lauk pauk, kuih muih dan minuman tersedia hidang. Cuma tinggal beli sahaja. Di sini tiada bazaar Ramadhan seperti di Malaysia. Cuma kadang-kadang inisiatif daripada rakan-rakan Malaysia yang berada di Ireland untuk membuka gerai jualan pada hujung minggu. Namun tidaklah semeriah di Malaysia. Bagi kami yang tinggal di Athlone (pekan kecil di Ireland), perjalanan untuk menuju ke bazaar Ramadhan kecil ini memakan masa selama dua jam. Jadi memang saya dan keluarga tidak pernah berkesempatan untuk bersama-sama memeriahkan bazaar Ramadhan rakan-rakan di Ireland. Mungkin jika ada kelapangan masa suatu hari nanti.. InsyaAllah. Mana kita tahu kan?

Apa yang istimewa tentang makanan adalah kita makan apa yang kita masak. Memang ikut selera dan citarasa sendiri. Antara masakan dan kuih muih yang saya sediakan sepanjang tempoh berpuasa selama 10 hari ini adalah seperti ayam panggang, mi rebus tulang, tom yam, nasi arab, sup daging, pasembor, kuih koci, agar-agar santan, roti daging dan lain-lain lagi. Sama macam menu berbuka di Malaysia, betul tak? Jadi tak perlu menangis rindu. Ok? ;)

"Rindu tak nak puasa di Malaysia?" -Ya memang teramat rindu pada suasana Ramadhan di Malaysia. Meriah di bazaar. Meriah di masjid. Meriah dengan gelak tawa kanak-kanak bermain bunga api. Kerinduan terubat bila mana memikirkan kita masih berkongsi langit Ramadhan yang sama.. wink! Hehe..

Kelebihan puasa di perantauan..

Tempoh 19 jam memang tidak terasa jika kita manfaatkan secukupnya. Malah tempoh 19 jam itu beri banyak masa untuk melayan anak-anak, bertadarus, memasak untuk iftar, menguruskan rumah, berehat, malah sempat tidur jika letih dan macam-macam lagi aktiviti. Bayangkan masa puasa 7 jam lebih dari rakan-rakan di Malaysia. Memang banyak perkara yang boleh dilakukan. 

Di Athlone ada rumah kedai yang dijadikan masjid untuk bersolat. Solat terawih juga dilakukan.  Ada juga komuniti muslim di Athlone. Mereka dari Pakistan, Indonesia dan beberapa negara di tanah arab. Kebiasaannya Terawih dilakukan satu jam selepas berbuka puasa. Walaupun dalam jadual waktu Isya' sekitar pukul 12 malam lebih, namun mengikut fatwa tempatan, solat terawih dilakukan sekitar pukul 11 malam. Selepas menunaikan solat Isya'. Saya dan keluarga hanya berterawih berjemaah di rumah.  

Suhu sepanjang tempoh Ramadhan kadang-kadang mencecah 26 darjah celcuis di sebelah siangnya. Jika hujan, suhu turun serendah 16 darjah celcuis. Mungkin ini juga antara faktor kurang rasa letih walaupun menahan lapar dan dahaga selama 19 jam.

Menjamu keluarga dengan hasil air tangan sendiri lebih puas hati berbanding dengan membeli juadah di luar. Duduk bertemu mata, bergurau di meja lebih terasa indahnya berbanding menunggu waktu berbuka di restoran.

Sebenarnya berpuasa di kampung halaman sendiri mahupun di negara orang tidak banyak beza. Kerana keindahan Ramadhan itu tersebar luas di bumi Allah ini.  Cuma kita perlu bersyukur kerana berpeluang diberi rezeki umur untuk mengecapi nikmat Ramadhan pada tahun ini. Salam Ramadhan dari kami.. yang jauh di bumi Ireland :)




Ingin tahu kenapa wujud perbezaan waktu berbuka puasa seluruh dunia? Boleh klik di sini.


2 comments:

  1. Best cerita syam..sayu sebenarnya berpuasa di rantauan..tapi niat ibadat tu mengubah segalanya..moga ramadhan 2016 menjanjikan kegembiraan utk syam sekeluarga..aminnnnn.

    ReplyDelete

Back to Top