21 June 2016

Mengapa tidak perlu sombong???

Pada minggu lepas, saya dan keluarga berbuka puasa bersama komuniti Islam di Athlone. Athlone merupakan bandar kecil di county Westmeath. Apa yang istimewa tentang Athlone ialah bandar ini merupakan bandar yang terletak di tengah-tengah Ireland sehingga mendapat jolokan nama 'The Heart of Ireland'.  

Komuniti Islam di Athlone terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Dari golongan profesional sehinggalah golongan biasa-biasa. Di Athlone ini terdapat penempatan pelarian dari pelbagai negara sama ada mangsa perang ataupun negara miskin.

Sewaktu saya berbuka puasa bersama mereka, ada doktor, ada pelajar, ada jurutera, ada ahli perniagaan dan ada juga pelarian yang turut serta memeriahkan majlis iftar ini. Apa yang menguja minat saya ketika berada bersama mereka ialah mereka semuanya tidak sombong! Sehinggakan sukar untuk saya kenalpasti yang mana doktor, yang mana pelarian! Pakaian mereka juga biasa-biasa, tiada pakaian 'megah' yang dipakai untuk menunjukkan status.

Hati tertarik pada seorang wanita kulit hitam dari Somalia yang umurnya lingkungan lewat 30 an. Walau kulitnya hitam, namun ada 'seri' di wajah dan senyumannya. Dia seringkali mengukir senyum dan membalas senyuman. Selesai berbuka puasa, kami akan solat Maghrib secara berjemaah. Azan Maghrib sekitar pukul 10.10 malam. Isya' pula lebih kurang pukul 11.40 malam. Ruang masa antara Maghrib dan Isya' diisi dengan aktiviti sendiri. Wanita kulit hitam tadi begitu tekun beribadah. Usai solat Maghrib dia mengerjakan beberapa solat sunat kemudian terus membaca Al-Quran. Waktunya tidak dihabiskan dengan sia-sia. Tidak diguna untuk bicara tentang hal-hal dunia. Walaupun di dunia ini dia pelarian, mungkin tempatnya jauh lebih tinggi dari kita di akhirat kelak. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Dalam ruangan solat ini juga banyak mereka yang hebat-hebat. Kaya-kaya. Bila ta'aruf saya sendiri terkejut! Kerana saya fikir semua yang berada di sini dari kem pelarian! Sikap rendah diri dan tidak suka menunjuk itu menjadikan mereka manusia hebat yang istimewa! Bukan hebat tapi 'biasa-biasa'.


Jika kita hebat, lebih ramai orang yang hebat di luar sana

Kadang-kadang kita rasa kita hebat. Ya, bila kita duduk terperuk di negara sendiri, kita memang hebat! Tetapi apabila kita keluar merantau melihat negara luar, rupanya kita tidak sehebat mana! Terlalu ramai manusia hebat di luar sana! Tambah-tambah kita yang berasal dari Malaysia. Negara kita masih baru, walaupun kita pernah hebat di zaman Kesultanan Melayu Melaka namun kegemilangan kita musnah kerana sikap keturunan kita sendiri. Dan kemudian berabad lamanya kita di bawah jajahan orang!

Kekayaan sepatutnya tidak menjadikan kita sombong

Wang ringgit seringkali memberi status tinggi kepada individu. Wang boleh membeli kuasa. Wang juga boleh membeli maruah! Ramai orang yang sanggup buat apa saja demi wang. Ya, wang memang penting untuk kelangsungan hidup tetapi kita bukan hidup untuk wang! Harta sifatnya tidak kekal begitu juga dengan usia kita. Mungkin hari ini kita diuji dengan kekayaan yang melimpah ruah dan esok kita diuji dengan kesakitan sehingga wang berjuta pun tidak dapat menjadi penawar sakit kita.


Keangkuhan kita tidak mampu menembusi bumi!


Allah berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 37, "Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung."

Ilmu yang ada hanyalah setitis air di lautan

Jika kita pandai sama ada pandai berniaga, pandai dalam belajar atau pandai dalam apa jua bidang.. bukan menjadi asbab untuk kita berada pada tahap yang istimewa lebih dari orang lain. Malah ilmu yang kita ada sebenarnya amanah yang besar buat kita. Ya, amanah untuk kita menyampaikannya kepada orang lain. Bukan sebagai tiket untuk kita memandang rendah kepada orang! Ilmu yang kita pinjam terlalu sedikit jika dibandingkan ilmu Allah yang Maha Bijaksana. Dalam surah Al-Kahfi ayat 109,

Katakanlah (Muhammad):"Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)".

Kita hebat untuk membentuk lebih ramai orang hebat

Jika diri terasa untuk menjadi sombong, tanyalah pada diri kita. Mampukah kita mencipta diri kita sendiri? Dan siapakah yang menjadikan kita sehebat ini? Mengapa kita dipilih untuk jadi hebat dan bukan dia yang dipilih? Allah tidak akan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Kerana itu kita tidak menjadi hebat untuk sia-sia sahaja. Berapa banyakkah sumbangan idea, wang atau tenaga kita untuk agama dan negara? Jika kita belum mampu menjawap soalan-soalan ini, mari kita sama-sama bermuhasabah. Sama-sama belajar menjadi 'orang hebat yang istimewa' dan  bukannya 'orang hebat yang biasa-biasa'.


Salam dari saya, Cerita Kembara Kami. Semoga Allah terus membimbing kita dan mengingatkan kita dari alpa. 

Baca tentang Tadarus & Tadabbur Ramadhan tentang Janji. Klik di sini.


No comments:

Post a Comment

Back to Top