Logo KBBA

5 August 2016

Untuk Backpackers: Dari Amsterdam ke Zaanse Schans

Kunjungan ke Netherlands tidak lengkap jika anda tidak pergi ke Zaanse schan yang terletak di bahagian utara Amsterdam. Lokasi pengambaran drama bersiri Andai Bumi Tulip Takdirku ini sememangnya sangat cantik dan pasti memukau pandangan. 

Untuk Backpackers

Eh, untuk backpackers? Sememangnya, pelancong yang gemar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti train dan bas adalah terdiri dari golongan backpackers. Bagi yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil biasanya lebih selesa menyewa kereta.  

Entri kali ini saya ingin berkongsi cara untuk ke Zaanse Schans dari Amsterdam central. 



Dari Amsterdam central ke Zaanse schans


Anda perlu membeli tiket dari mesin tiket automatik di dalam bangunan Amsterdam central station. Beli tiket pergi-balik ke Zaanse Schans (destinasi: Koog-Zaandijk) berharga Eur 7++. Perjalanan menaiki keretapi dari Amsterdam central ke Koog Zaandijk lebih kurang 15 minit. Dari Koog Zaandijk station anda perlu berjalan selama lebih kurang 20 minit ke Zaanse schans. Klik untuk lokasi jalan kaki google maps dari Koog zaandijk ke Zaanse Schans.

Hanya perlu ikut arah yang ditunjuk oleh papan tanda yang terletak di luar Koog Zaandijk station.


Ikut arah anak panah ke Zaanse Schans


Zaanse Schans merupakan kawasan perkampungan yang mempunyai beberapa buah kincir angin tradisional yang masih beroperasi hingga kini. Anggaran masa lawatan ke Zaanse Schans antara 3 hingga 4 jam. Untuk menikmati pemandangan indah sekitar Zaanse Schans anda tidak perlu membayar tiket masuk. Ya, ianya percuma! Tetapi.. jika anda ingin masuk ke dalam kincir dan melihat cara kincir angin ini beroperasi, bayaran dikenakan Eur 3-4 untuk seorang bagi sebuah kincir. 


Terima kasih kerana mengunjungi blog Cerita Kembara Kami.

Baca entri lengkap Cerita Kembara Kami di Zaanse Schans. Klik di sini. 

Upah penyediaan itinerari ke eropah dengan harga berpatutan di sini. Klik. 


read more "

4 August 2016

Dari Amsterdam ke Keukenhof

Ada yang merancang untuk ke Taman Tulip terbesar di dunia? Jika anda ingin melihat pelbagai jenis rupa dan warna bunga tulip datanglah berkunjung ke Keukenhof yang terletak nun jauh di tanah Belanda - Netherlands. Taman Tulip Keukenhof ini hanya dibuka pada waktu musim bunga sahaja. Bagi yang merancang untuk ke Keukenhof pada tahun 2017 nanti, Keukenhof akan mula dibuka pada 23 Mac sehingga 21 Mei 2017. 

Kenangan di Keukenhof 2015

Menaiki train dan bas ke Keukenhof


Jika menyewa kereta, senang sahaja untuk ke sini. Cuma setkan GPS anda atau guna saja Google maps. Lokasi Keukenhof terletak di:

Stationsweg 166a,
2161 AM LISSE
The Netherlands

InsyaAllah akan tiba di Keukenhof. Bagi yang ingin menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dari Amsterdam, anda boleh baca di sini.

Ada 2 pilihan dari Amsterdam ke Keukenhof.

Pilihan 1: Amsterdam central ke Keukenhof

Dari Amsterdam central, anda perlu menaiki train ke Schiphol Airport lebih kurang 15 minit. Tiket boleh dibeli di mesin tiket. Tiba di central station di stesen keretapi Schiphol Airport, anda perlu ikut sahaja papan tanda ke platform bas yang terletak di luar stesen keretapi. Keluar melalui Schipol Plaza, anda akan jumpa perhentian bas berhadapan Schipol Plaza. Tiket pergi-balik (return ticket) boleh dibeli di kaunter tiket. Keukenhof Express Bus (no 858). Naik bas ke Keukenhof selama 35 minit. Bas akan berhenti di luar pintu masuk utama Keukenhof. Bas ada setiap 15 minit. Sila datang awal untuk elak beratur terlalu panjang. Naik bas bernombor 858 juga untuk kembali ke Schiphol Airport. 

Harga tiket:

Train dari Amsterdam central ke Sciphol Airport: Eur 8++
Bus 858 dari Sciphol ke Keukenhof: Eur 9++



Pilihan 2: Amsterdam Leidseplein ke Keukenhof

Jika anda menginap sekitar Amsterdam Leidseplein, cara paling mudah untuk ke Schiphol Airport adalah dengan menaiki bas 197. Bas ini akan berhenti di perhentian bas Schiphol Airport. Tiket pergi-balik (return ticket) boleh dibeli di kaunter tiket. Keukenhof Express Bus (no 858). Naik bas ke Keukenhof selama 35 minit. Bas akan berhenti di luar pintu masuk utama Keukenhof. Bas ada setiap 15 minit. Sila datang awal untuk elak beratur terlalu panjang. Naik bas bernombor 858 juga untuk kembali ke Schiphol Airport. 

Harga tiket: 

Bas 197 dari Amsterdam Leidseplein ke Schiphol: Eur 6++
Bus 858 dari Sciphol ke Keukenhof: Eur 9++


Terima kasih kerana mengunjungi blog kami!

Jemput baca Cerita Kembara Kami di Keukenhof di sini. Klik. 

Tempah itinerari ke eropah dengan kami. Klik di sini. 


read more "

26 July 2016

Glendalough - Kongsi kisah dan tips trekking bersama anak kecil

Ireland dan bentuk mukabumi yang cantik juga unik memang tidak boleh dipisahkan. Jika berpeluang ke Ireland, lupakan aktiviti shopping buat sementara sebaliknya penuhkan itinerari dengan menikmati keindahan alam semulajadi bumi Shamrock ini.




The valley of the two lakes


Terkenal dengan jolokan nama The valley of the two lakes - Lembah antara dua tasik. Mendengar namanya sahaja membuatkan kami teruja untuk beriadah ke sini. Tiba sahaja di Glendalough hati dihambat rasa syukur dan kagum dengan ciptaan Allah. Alam yang tidak pernah cacat dengan keindahan pemandangannya ini terletak di Co. Wicklow. Lebih kurang 45 minit dari pusat bandar Dublin. Satu perkataan yang dapat saya kongsikan tentang Glendalough adalah MashaAllah! Keindahan tasiknya yang luas, bukit batu yang gah terbentang, air sungai jernih memang memukau mata setiap yang memandang.



Bukit batu

 
Hutan Pine di Blue route


Tasik Glendalough


Aktiviti di Glendalough 

Glendalough sangat sesuai untuk para pencinta alam semulajadi. Pelbagai aktiviti santai dan lasak boleh dilakukan di sini antaranya rock climbing, berkayak, trekking dan BBQ. Musim panas paling sesuai untuk anda beriadah di Glendalough. Pada waktu ini saudara-saudara 'orang putih' kita gemar berjemur - sun bathing. Kami yang tidak seputih mana, kadang-kadang turut berjemur kadang-kadang berhimpun di bawah rendang pohon!

White Route


Walaupun beriadah bersama anak-anak kecil bukanlah menjadi penghalang untuk kami trekking menikmati keindahan bumi Glendalough. Trek yang kami gunakan ialah White route sejauh 9 km melalui kawasan hutan Pine, kemudian ke kawasan berbatu yang merupakan lombong tinggal, kawasan lereng bukit, puncak Glendalough dan menuruni bukit melalui kawasan hutan Pine di Poulanass waterfall yang mempunyai lebih kurang 600 anak tangga. Masa yang dicadangkan ialah 3 jam 30 minit namun masa yang kami perlukan adalah 4 jam sambil melayan karenah anak-anak.

Kami mulakan perjalanan lebih kurang pukul 10.30 pagi dan kembali ke tapak mula sekitar pukul 2.20 petang. Penat? Memang letih tapi berbaloi!

Banyak trek yang boleh dipilih mengikut kemampuan sendiri namun kami pilih white route kerana trek ini merupakan trek yang paling popular kerana pemandangan sepanjang jalan yang superb! Sampai di pucak bukit kita boleh melihat pemandangan dua tasik dari atas puncak. Inilah - The valley of the two lakes! 

Bagi yang ingin menggunakan stroller, anda boleh menggunakan jalan ini - blue route. Trek jalan raya sepanjang hutan pokok pine sehingga ke kawasan lombong lama yang berbatu. Kemudian boleh patah balik.


Permulaan Blue route


Hutan pine


Penghujung trek Blue route


Tapi kami dengan gigih meneruskan perjalanan bersama tiga orang anak kecil yang kadang-kadang merengek minta didukung!







Danger! Rolling stone! Tapi batu-batunya terlalu besar.. tahap rock! Hahaha









Perjalanan diteruskan lagi..







Di bawah jambatan kecil ini mengalir anak sungai yang akhirnya mengalir ke tasik



Trek kayu di lereng bukit



Tiba di puncak. Kelihatan dua buah tasik kebiruan yang sangat cantik!

Di kiri dan kanan jalan ada pokok blueberry. Saya sempat mengutipnya. Mula-mula ingatkan pokok bunga biasa. Bila tengok ramai yang duduk sambil kutip buah, saya pun turut serta.


Bunga pokok Blueberry liar


Menuruni puncak bukit


Yeay! Dah sampai..

Fasiliti


Antara kemudahan yang disediakan oleh pihak kawasan rekreasi ini ialah tandas, gerai-gerai makanan yang menjual Fish and chip, aiskrim, dessert dan pelbagai lagi. Boleh juga bawa bekal dari rumah kerana ada banyak meja dan bangku yang disediakan. Hampar tikar pun boleh! Jika ingin memanggang, hanya dibenarkan mengguna gas stove sahaja. Arang dilarang! Kemudahan parking juga disediakan. Bayaran sebanyak Eur 4 dikenakan untuk sebuah kereta. Dinasihatkan supaya datang awal untuk mengelak kesesakan lalu lintas. Anda juga perlu menunggu parking kosong sebelum dibenarkan masuk. Jadi yang datang pada pukul 11 pagi memang berbaris kereta menunggu parking kosong.

Kemudahan bermalam (overnight)


Di taman rekreaksi anda tidak dibenarkan bermalam juga di kawasan bukit. Tapi anda boleh menyewa hostel atau BnB sekitar Glendalough melalui booking.com atau walk in.


Hostel kami bermalam di Glendalough International Hostel. Satu malam Eur 125.


7 Tips Trekking bersama anak-anak kecil:


1) Pastikan kasut dan baju yang sesuai untuk mereka.




2) Sediakan air kosong.

3) Sediakan gula-gula seperti lolipop atau mentos.

4) Beri mereka kamera untuk ambil gambar sepanjang jalan - ini dapat mengelakkan bosan dan letih.


Ilman teruja mengambil gambar sehingga hilang penat!


5) Libatkan mereka dengan alam sekitar. Sebagai contoh, jika ada buah-buahan liar yang anda pasti tidak beracun boleh beri mereka rasa atau jika anak sudah pandai membaca, tanya mereka setiap kali berjumpa papan tanda.


Adam berlari ke hadapan lebih laju untuk membaca setiap papan tanda yang ada

6) Janjikan hadiah sekiranya mereka dapat habiskan aktiviti ini untuk memberi galakan kepada mereka.

7) Anda tahu kemampuan anak anda. Ada kalanya anda perlu mendukung mereka. 

Eh, seronok pula Sarah kena dukung!


Glendalough - checked! Teruja pula nak trekking lagi. Ke mana pula Cerita Kembara Kami selepas ini? Kita tunggu..

Ingin berkunjung ke Ireland? Jom baca catatan kami di bumi Shamrock ini! Klik di sini.

Terima kasih! 


read more "

29 June 2016

Genap sebulan menjadi ahli KBBA: Ini cerita saya

Assalamualaikum dan selamat pagi. Entri khas ini sebagai penghargaan kepada Kelab Blogger Ben Ashaari. Hari ini merupakan genap sebulan saya berada dalam KBBA sebagai ahli. Walaupun menjadi ahli jarak jauh (Ireland-Malaysia) namun terlalu banyak pengalaman yang saya belajar di sini. Banyak benar terma-terma tentang dunia blogger saya belajar dari rakan-rakan blogger antaranya ialah UV, PV, GA, SEO, BS dan WP. Ada lagi sebenarnya cukuplah yang asas sahaja. 

Mula berjinak dunia penulisan

Jujur saya katakan sebelum ini saya memang langsung tidak tahu menahu tentang 'dunia blogger'. Kali pertama saya menulis blog sekitar tahun 2007. Pada masa itu saya fikir blogspot ini ialah online diary yang boleh kita tulis cerita tentang diri sendiri seperti di buku diari biasa. Beberapa entri saya letak kemudian saya tinggal lama blog tanpa berusik. Kerana waktu itu saya sedang berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Saya suka menyertai sayembara menulis novel atau cerpen pada masa itu. Masih ingat lagi ketika dapat wang saguhati bernilai RM 200 sewaktu di sekolah menengah kerana menyertai pertandingan menulis cerpen. Kalau tidak silap saya anjuran biro Angkasa. Cikgu Faridah cikgu BM yang suruh saya masuk. Sayang cikgu punya pasal saya siapkan cerpen bertajuk 'Imbauan'. Alhamdulillah menang hadiah saguhati. RM 200 sudah cukup banyak bagi saya! 

Kali kedua menyertai pertandingan menulis ialah anjuran DBP. Sayembara menulis novel. Untung ada blogger yang menulis berita tentang ini. Dapatlah saya simpan buat kenangan. 



Pemenang hadiah saguhati. Karya: Klon ESC. Itulah saya! Sewaktu dapat RM 750 memang sangat bersyukur. Tambah-tambah saya amat memerlukan duit ketika itu untuk bayar yuran pengajian Master di UTM. Saya ada terima pelawaan menerbitkan novel tersebut dengan pihak DBP. Namun oleh kerana salah faham dalam komunikasi tambahan pula saya sedang sibuk menyiapkan tesis Master maka hasrat menerbitkan novel tersebut terkubur. Sedih. Memang sedih. Namun terubat bila selesai menyiapkan tesis Master. Alhamdulillah. 


Dunia penulisan cerpen

Bagi mengubati kekecewaan tidak dapat bekerjasama dengan pihak DBP untuk menerbitkan novel Klon ESC, saya mula berjinak-jinak menulis semula. Saya ada menyertai bengkel penulisan anjuran DBP di Hotel De Palma Ampang selama 3 hari. Untuk menyertai bengkel ini, peserta perlu menyiapkan cerpen. Cerpen yang terpilih akan dipilih untuk menghadiri bengkel. Alhamdulillah cerpen saya terpilih. Cerpen bertajuk 'Kalau Tidak Kerana Bulan'. Sepanjang bengkel tersebut kami dilatih oleh Puan Zaharah. Puan Zaharah terlalu baik. Selalu memberi semangat. Sehingga tamat bengkel pun Puan Zaharah selalu menghubungi kami dan terus memberi galakan untuk terus menulis. Kali pertama saya mencuba nasib menghantar cerpen kepada pihak Utusan namun tiada rezeki ketika itu. Cerpen bertajuk Cinta Teragung itu akhirnya saya abadikan di Facebook saya setelah 2 tahun saya simpan dalam laptop.



Sewaktu itu saya sudah mengajar di UiTM. Saya berhenti menulis kerana tiba-tiba ada pelajar datang menegur saya bertanyakan sama ada blog tersebut milik saya atau tidak. Kerana malu saya menafikannya lantas terus memadam blog tersebut. Pemalu kan saya? Hahaha. 

Apabila rindu bertamu..

Kemudian rindu dalam bidang penulisan hadir kembali. Saya layari internet dan terjumpa laman web tempat berkongsi cerpen dan novel iaitu Penulisan2U. Maka saya pun terdetik untuk menulis sekali lagi. 



Terhasillah 'Syahadah Kasih'. Kali pertama saya mencuba. Alhamdulillah diterima. Namun saya amat terkejut dengan komen yang diberikan pembaca. Rata-rata memberikan komen yang negatif. Mungkin gaya penulisan saya memang teruk. Namun saya tidak patah semangat. saya terus hantar lagi. Kali kedua. Kali ketiga. Kali keempat. Cerpen yang berbeza. Namun tidak diterbitkan. OK. Saya redha. 

Seperti biasa bagi mengubati kekecewaan, saya kembali ke dunia blogging dengan novel bersiri dan ala syok sendiri saya.


Dan kemudian kerana terlalu sibuk menyiapkan research untuk pengesahan jawatan di UiTM, sekali lagi minat ini berkubur. Lebih malang, saya terlupa langsung email apa yang saya guna kali pertama membina blog ini. Email lupa, password apatah lagi. Jadi novel bersiri online saya ini tidak sempat siap. Tidak boleh siap kecuali saya buat yang baru. Kerana saya tidak boleh lagi akses ke blog ini. 


Kembali menemui cinta hati

Masa berlalu. Minat kian pudar sehingga tiba suatu hari. Awal tahun 2015. Encek z menyuruh saya menyambung blognya yang sudah setahun terbiar. Ah! Malas rasanya nak menulis kembali. Blog yang dibuat encek Z untuk menyimpan koleksi gambar kami melancong. Mahu tidak mahu saya terpaksa juga menulisnya untuk kenangan anak-anak. Kian lama menulis minat tiba-tiba muncul kembali!

Menyertai KBBA

Kali pertama terjumpa tentang KBBA di blog Tiffin Biru. Bila menetap di Ireland saya mula belajar memasak. Sebab itulah blog masakan menjadi laman utama saya setiap hari. Saya adalah salah seorang peminat blog Che Mat Gebu. Suatu hari saya terperasan hashtag Kelab Blogger Ben Ashaari di banner dalam blog Che Mat. Saya wonder juga ketika itu. Wah! Ada kelab blog. Pertama kali saya dengar. Biasa kelab rekreasi, kelab fotografi. Tapi kerana sibuk menguruskan anak-anak saya tidak cari maklumat lanjut tentang kelab blogger ini sehinggalah pada awal Mei 2016. Saya fikir pada waktu itu, saya perlu ada rakan-rakan dalam dunia penulisan supaya saya tidak kuburkan lagi minat saya. Maka pada 31 Mei 2016 saya mesej 'Tuan Punya' kelab iaitu Ben Ashaari.



Kemudian bermulalah detik pertama berkenal-kenalan dengan ahli-ahli KBBA. Mereka sporting. Peramah. Tidak lokek berkongsi ilmu. Saling sokong menyokong. 



Blog review ini dibuat oleh blogger Saidila. Saya amat terharu membacanya! Anda boleh membacanya di sini.  Saidila banyak membantu saya dan memberi galakan untuk terus menulis blog. Umpama mentor dan sahabat saya. 

Ini kisah saya yang mula kembali berjinak-jinak dalam dunia blogging. Ini kehidupan saya dan saya selesa di sini berkongsi ilmu dengan para pembaca. Terima kasih encek z selaku web designer saya, walaupun sibuk dengan urusan kerja seharian. Juga kepada pembaca yang sudi berkunjung ke blog saya - Cerita Kembara Kami. Sekalung penghargaan buat Ben Ashaari dan rakan-rakan dalam KBBA. Masih banyak yang perlu saya belajar. Dan cerita saya bermula di sini..



Nota:
Venice merupakan entri yang menyebabkan saya ingin kembali menulis walaupun entri ini encek z yang mula-mula menulisnya, saya hanya menyambung sahaja mana yang belum sempat siap.. Anda boleh membacanya di sini.


read more "

Jatuh Cinta Pada Inishmore!!!

Selamat pagi.. Hari ini saya ingin bicara topik cinta. Wah! Bila saya mula bicara soal cinta, tidak lain dan tidak bukan mesti tentang sesuatu yang paling saya minat --- iaitu Melancong. Ya, topik pagi ini tentang melancong. 2, 3 hari lepas, saya ada membelek-belek brochure tentang Aran Islands yang terletak di Galway, Ireland. Aran Islands ini merupakan pulau-pulau kecil yang terletak bersebelahan dengan tanah besar Ireland. Ada 3 buah pulau di Aran Islands iaitu Inishmaan, Inisheer dan Inishmore. 



Berpandukan peta, Inishmore merupakan pulau yang paling besar di Aran Islands. Khabarnya, jika ingin melihat budaya masyarakat Irish yang masih kekal terpelihara, harus berkunjung ke Aran Islands! Anda boleh mendengar bahasa Irish iaitu Gaelic digunakan di sini. Memang jarang sekali dengar orang Irish berbahasa ibunda kerana mereka sudah selesa berbahasa Inggeris.  

Jadi apa yang menarik di Inishmore sehingga saya mula jatuh cinta padanya?? Saya terjumpa kejadian alam yang sangat unik di sini! Wormhole. Hanya ada satu sahaja di Ireland dan di dunia!


Inilah Wormhole yang saya ceritakan

Nampak seperti kolam renang bukan? Ianya berbentuk petak seperti ditebuk, wujud secara semulajadi cukup menjadikan pulau batu ini sangat istimewa! Wormhole terletak di tebing laut Inishmore.




Gambar-gambar ini semuanya saya dapat hasil carian Google Image. Kerana saya pun belum pernah ke sini. Dan sedang merancang untuk ke sini! Insha Allah. 


Hanya ada batu, lumut dan sedikit rumput di pulau ini


Pemandangan ketika air laut pasang. Ombak tinggi dan kuat sehingga air laut naik ke atas tebing dan memasuki kolam


Jadi apa sebenar Wormhole ini? Ia adalah kolam semulajadi berbentuk segiempat. Apabila air laut pasang ia akan mengalir masuk ke dalam kolam ini dan surut ke bawah tebing. Inishmore ini terletak di Lautan Atlantik yang sudah sedia maklum ombaknya yang begitu kuat dan habitat bagi ikan Jerung.

Saya mula berbelah bagi apabila melihat kawasan sekitar pulau ini. Sesuai atau tidak untuk anak-anak yang berumur 2,5 dan 6 tahun? Saya belek satu-satu gambar di Google Image sehingga saya temui gambar ini di TripAdvisor.


Sumber: TripAdvisor
Jadi ada sedikit keyakinan untuk membawa Adam, Ilman dan Sarah. Insha Allah. Moga Allah permudahkan.

Maka perancangan itinerari pun bermula. Itinerari kami berpandukan itinerari dari laman web Ireland Private Tours. Harga feri ialah Eur 25 untuk dewasa manakala Eur 17 untuk kanak-kanak. Bawah 4 tahun percuma. 


Nampaknya kami perlu ke Pelabuhan Rossaveal untuk menaiki feri ke Inishmore. Jarak perjalanan dijangka selama 45 minit ke pelabuhan kecil di pekan Kilronan yang terletak di pulau Inishmore.


Terdapat beberapa lagi tempat yang boleh dikunjungi di Inishmore iaitu tinggalan kota yang terletak di tebing laut Dun Aengus, seven churches, rumah api, Aran sweater market dan muzium. Macam tak cukup saja kalau nak seharian di sini. Terfikir pula sama ada perlu bermalam atau tidak.





Jika perlu bermalam, rata-rata harga bilik seperti di bawah:




Kawasan pulau Inismore ini cukup luas. Kami perlu mencari khidmat Tour guide tempatan untuk bawa kami ronda sekeliling pulau. 


Khidmat tour guide Eur 15-25 untuk seorang. Boleh pilih naik van atau naik kereta kuda. Yang mana paling best ya? 

OK. Itu sahaja setakat ini. Terima kasih kerana mengunjungi blog Cerita Kembara Kami. Tunggu saya update entri Inishmore ya! Insha Allah. Jumpa lagi..





read more "

27 June 2016

Tips penyediaan itinerari ke Eropah bersama keluarga

Hai.. entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit tips dan panduan untuk menyediakan itinerari ke negara eropah sekiranya anda ingin melancong bersama keluarga dan mempunyai anak-anak kecil. Kebiasaannya, jika melancong ke eropah, jarang ada pelancong yang ingin tumpu kepada satu negara sahaja. Paling tidak pun 2 negara contoh Spain dan Portugal. Ramai yang biasanya melancong ke 4 buah negara sekaligus!. Contoh: Perancis, Netherlands, Belgium dan Luxembourg. Atau Luxembourg, Austria, Czech dan Germany. Melainkan anda ingin ke UK semata-mata untuk boxing day! 

Berikut merupakan panduan untuk anda menyediakan sendiri itenerari tanpa guna khidmat kami atau tanpa ikut pakej pelancongan. 

Tentukan berapa bajet anda untuk melancong.


Harga tiket kapal terbang untuk seorang: RM 2800 - RM 4500
Harga bilik hotel / homestay untuk semalam (4 - 5 orang): RM 200 - RM 600
Harga kereta sewa untuk sehari: RM 130 - RM 250
Harga petrol / diesel untuk 1km: RM 0.50 - RM 1.00
Peruntukan untuk makan  3 kali sehari (4 - 5 orang): RM 300 - RM 600
Bayaran parking dan tandas sehari: RM 50 - RM 100
Cenderahati - 1 keping Fridge magnet: RM 18
Bayaran masuk muzium untuk seorang (4 tahun ke bawah biasanya percuma): RM 36
Bayaran masuk taman tema untuk seorang: RM 90 - RM 120
Bayaran masuk bangunan bersejarah untuk seorang (4 tahun ke bawah biasanya percuma): RM 30 - RM 80
Bayaran masuk ke tapak bersejarah untuk seorang (4 tahun ke bawah biasanya percuma): RM 50 - RM 100
Peruntukan membeli belah untuk seorang: RM 500


Tentukan jumlah hari anda ingin pergi melancong berpandukan kekangan masa, kewangan dan jumlah negara.


Berdasarkan panduan bajet di atas, tentukan bilangan hari melancong anda. Jika anda ingin tawaf tanah besar UK - England, Wales dan Scotland, bilangan hari yang selesa ialah 8 hari termasuk hari tiba dan pulang. Paling selesa ialah 2 hari untuk satu negara, jika anda ingin melancong ke banyak negara boleh juga peruntukan 1 hari di satu negara namun cuma 1 bandar. Contohnya hanya ke bandar Prague sekiranya anda ke Republik Czech. 

Senaraikan tempat-tempat yang menarik atau aktiviti atau makanan yang minat anda untuk ke negara tersebut sekiranya anda tahu.


Contoh: Germany

Tembok Berlin di Berlin
Muzium Porsche  dan Muzium BMW di Stuggart
Makan Currywurst Halal yang hanya terdapat di Hannover
Makan coklat dan lawat kilang coklat di Cologne


Lihat peta di mana letaknya lokasi tempat tersebut.


Lihat dalam peta jarak tempat-tempat ini untuk tentukan destinasi pertama anda. Kebiasaannya destinasi pertama saya merujuk kepada kedudukan Airport. Harga tiket kapal terbang berbeza mengikut tempat kapal terbang mendarat. Cari lokasi yang paling hampir dengan lapangan terbang sebagai destinasi pertama anda. Contoh anda mendarat di Frankfurt. Merujuk kepada contoh tempat di atas, ada 4 bandar yang anda lawat di Germany: Stuttgart-Berlin-Hannover-Cologne. Kemudian lihat bandar atau negara yang boleh anda lawati dalam perjalanan ke 4 buah bandar ini. Contoh: Frankfurt-Stuttgart-Munich-Salzburg-Vienna-Prague-Berlin-Hannover-Cologne-Luxembourg-Frankfurt.



Pilih pengangkutan yang selesa untuk anda


Sekiranya anda ingin mencipta pengalaman memandu di eropah, maka pilihlah kereta sewa. Sekiranya anda lebih senang berehat sambil menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan, pilihlah pengangkutan awam.


Cari "Things to do" atau "Interesting place to visit" sekitar kawasan tersebut.


Cari yang menarik minat anda yang sesuai dengan anda dan umur anak-anak. Sebagai contoh: Anda sudah pilih Tembok Berlin sebagai destinasi utama. Cari lagi tempat menarik dan unik sekitar Tembok Berlin (West Gallery) seperti Oberbaum Bridge, Brandenburg Gate, Holocaust memorial, Gendermenmarkt, Berlin Wall memorial dan Check point Charlie. Anda perlu cari aktiviti dan tempat menarik di 10 bandar yang telah disenaraikan. Pemilihan aktiviti dan tempat menarik juga perlu berpandukan pengangkutan yang anda gunakan. Sekiranya kereta sewa, anda ada banyak tempat yang boleh dilawati. Sekiranya menggunakan pengangkutan awam seperti keretapi dan bas, anda perlu pilih aktiviti yang boleh anda buat dan tempat menarik yang boleh anda pergi dengan hanya menggunakan khidmat bas atau keretapi.



Tentukan bilangan hari anda di sesebuah tempat


Di Berlin anda ingin melawat ke 7 tempat menarik. Anda perlu peruntukan 2 hari 1 malam di Berlin. Anda perlu tahu juga jenis aktiviti yang akan di lakukan. Sekiranya hanya bergambar, 4 tempat untuk satu hari sudah cukup selesa. Tapi sekiranya anda ingin melawat muzium atau taman tema, lebih masa diperlukan. Sekiranya jarak antara satu bandar dengan satu bandar seterusnya dekat, anda boleh pergi 2 bandar dalam satu hari dan bermalam di bandar utama anda. Contoh: Lawat Frankfurt dan Stuttgart, bermalam di Stuttgart. Tapi sekiranya anda tiba di Frankfurt (lokasi Airport) sudah tengah hari, saya cadangkan anda bermalam di Frankfurt sahaja dan bertolak awal pagi ke Stuttgart. 


Pilih hotel 


Pemilihan hotel atau homestay berpandukan bajet harga anda, keselesaan anda, jenis pengangkutan yang akan anda gunakan. Sekiranya menggunakan khidmat pengangkutan awam, cari hotel atau homestay yang berhampiran dengan stesen keretapi dan bas. Hotel dan homestay juga dipilih berpandukan kemudahan yang disediakan seperti kemudahan dapur untuk masak, mencuci baju atau sarapan pagi percuma.


Faham? Sekarang anda boleh mula menulis itinerari anda sendiri! Oh ya, saya ingin kongsi beberapa perkara penting yang perlu anda tahu dalam perancangan ke eropah:




Terima kasih kerana mengunjungi blog Cerita Kembara Kami. Kami doakan perjalanan anda dipermudahkan, selamat pergi dan pulang. Selamat melancong!







read more "

24 June 2016

Ireland: Sebuah catatan



Negara manakah yang dapat anda teka melalui gambar-gambar berikut:


Daun Shamrock


Leprechaun bersama syiling emas


Kambing biri-biri

Castle dan tebing laut

This is Ireland!!


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Sudah lama saya ingin tulis entri tentang Ireland. Bumi Allah yang indah nun jauh di Eropah. Namun saya simpan dahulu niat kerana ada komitmen lain. Buat pengetahuan pembaca, Ireland merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semulajadi. Jika ada ingin melihat rupa bentuk muka bumi yang cantik dan unik, datanglah berkunjung ke Ireland.

Dua jajahan

Tanah besar Ireland ini sebenarnya terbahagi kepada dua negara iaitu Northern Ireland dan Republic of Ireland. Northern Ireland terletak di bawah jajahan United Kingdom. Jika anda ke Northern Ireland, matawang yang digunakan ialah GBP bukannnya Euro. Manakala Republic of Ireland menggunakan matawang Euro dan berada di bawah kesatuan Eropah.

Masyarakat Ireland

Irish merupakan penduduk asal Ireland. Bahasa yang digunakan oleh orang Irish ialah Gaeilge namun majoriti bertutur dalam bahasa Inggeris. Selain daripada Irish, orang Polish berasal yang dari Poland juga sebahagian daripada penduduk majoriti di Ireland. Mereka sudah lama bermastautin dan bekerja di Ireland. Warganegara China dan orang Arab juga ramai di sini. Ada saja kedai-kedai dan restoren asia juga Arab di merata tempat. Jika di bandar-bandar besar seperti Dublin, Cork dan Galway ada perkampungan orang-orang melayu Malaysia. Berbelas tahun orang Melayu kita bermastautin di Ireland. Rata-rata mereka bekerja sebagai doktor, akauntan dan tukang masak.

Keindahan alam

Ireland sinonim dengan angin dingin yang menyapa serta keindahan tebing lautnya yang memukau mata. Anda pasti terpegun dengan keunikan lembah dan tasik di Ireland. Kawasan tebing laut di Ireland yang cukup unik ini tidak sama seperti di negara lain. Pada musim panas, anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti yang berinteraksi dengan alam seperti luncur ombak, boat tour, trekking, berbasikal, daki bukit dan pelbagai lagi.


Susunan batu berbentuk heksagon di Giant Causeway, County Antrim di Northern Ireland


Tebing laut yang tersusun elok di Cliff of Moher, Galway



Glenveagh National Park, Northern Ireland




Old Head terletak di Kinsale, Cork (sumber: www.ireland.com) 



Glendalough di Wicklow


The Dark Hedges, Northern Ireland



Kolam semulajadi berbentuk petak - wormhole di tebing laut Inis Mor, Aran Island




Castle dan Abbey

Jika anda tanya saya apa perkara yang wajib buat di Ireland, saya akan jawab pergilah melawat castle. Di Ireland terdapat beratus tinggalan castle lama dan abbey, ada yang masih elok dipelihara ada juga yang terbiar usang dimamah usia. Kunjugan ke Ireland tidak lengkap jika anda tidak melawat salah sebuah castle dan abbey di sini.




Roscommon castle - Antara beratus castle yang runtuh dan tidak dipulihara



Kylemore Abbey, Galway (sumber: www.goconnemara.com)



Dublin castle terletak di Dublin (sumber: angeltours.eu)




Lubuk ikan

Terus terang saya katakan Ireland bukanlah syurga membeli belah bagi yang kaki shopping. Tetapi jika anda kaki pancing, anda dialu-alukan ke sini. Ireland merupakan salah sebuah negara eropah yang terkenal di kalangan kaki pancing. Ikan mackerel, Salmon, Trout, Sea Bass, Monk, Ray, Cod, Sea Bream dan macam-macam jenis lagi mengikut musim. Ada peraturan memancing di Ireland yang perlu anda tahu.


Trip memancing mackerel (sumber:www.irishmirror.ie)



Memancing di River Shannon, Athlone



Bumi kelahiran Titanic

Titanic nama kapal yang difilemkan dan menjadi sebutan orang ramai. Buat peminat filem Titanic ada yang lebih menarik dari menontonnya di panggung. Anda boleh berkujung ke Belfast dan Cobh. Belfast merupakan tempat dimana kapal Titanic mula dibina iaitu sekitar tahun 1912. Ada satu muzium di sini yang menyimpan segala sejarah tentang kapal mewah ini. 


Rekabentuk dalaman muzium mirip dalam kapal Titanic yang sebenar

Manakala Cobh pula adalah pelabuhan terakhir Titanic sebelum tenggelam di lautan Atlantik. Berada di Cobh seolah olah anda berada di zaman Titanic tersebut.


Pemandangan rumah di bina di teres bukit menganjur ke laut di Cobh



Kristal dan coklat

Berkunjung ke Ireland tidak lengkap jika anda tidak melihat sendiri koleksi Waterford Crystal yang menjadi trademark di Ireland dan merasa keenakan coklat Butlers. Anda boleh mencipta pengalaman dengan melawat kilang coklat Butlers di Dublin.

Proses membuat Waterford crystal di Waterford

Anda boleh cuba membuat coklat sendiri di kilang coklat Butlers di Dublin



St Patrick's Day

Irish National Day atau St. Patrick's Day merupakan satu perayaan yang disambut meriah secara besar-besaran di Ireland dan juga dibeberapa negara lain. Disambut tanggal 17 Mac setiap tahun.

Perarakan besar-besaran di setiap county

(sumber : patrickschneider.photoshelter.com)



Makanan tradisi

Irish tidak mempunyai makanan tradisi yang luar biasa. Kebanyakan makanan tradisi orang Irish juga terdapat di negara-negara lain seperti stew, roti dan masakan berasakan kentang seperti colcannon.

Colcannon diperbuat daripada kentang dan sayur Kale.


Jika anda ingin berkunjung ke Ireland, saya cadangkan pada musim panas. Musim panas lebih sesuai untuk anda menikmati keindahan tebing laut dan bukit bukau di sini. Jika anda melancong ke Ireland pada musim sejuk, suhu yang dingin ditambah pula dengan angin kuat tidak sesuai untuk aktiviti di kawasan tebing laut.

Terima kasih kerana mengunjungi blog ini. Baca Tips Melancong Ke Eropah di sini. Klik di sini.


read more "
Back to Top