
Hai! Salam Perkenalan..
Terima kasih kepada semua yang membaca Cerita Kembara Kami. Kami amat menghargai anda. Blog ini memuatkan segala kisah dan pengalaman kami kembara di bumi Eropah.
Jauh perjalanan, luas pandangan
Dahulunya langkah kami cuma setapak. Keinginan untuk travel timbul apabila menetap di sini. Rasa rugi pula tidak mengambil peluang yang ada. Bumi ini rupanya terlalu 'luas'. Pelbagai ragam manusia, bahasa pertuturan, adat dan budaya boleh kita jumpa. Apabila ke luar negara dan melihat banyak tinggalan tamadun lama, mereka sudah lama maju.. beratus malah beribu tahun dahulu, baru tersedar Malaysia sebuah 'negara yang baru'. Masih banyak yang perlu kita belajar.
| Oberbaum Bridge- Jambatan dua tingkat di Berlin, Germany dibina sekitar tahun 1894. |
Setiap etnik dan bangsa di dunia ini punya seribu satu budaya dan kepercayaan. Sensitif bagi kita tidak pula bagi mereka. Begitulah sebaliknya. Kita cuma perlu belajar menghormati. Terima perbezaan. Raikan persamaan.
Tidak dinafikan tanah air kita memang cukup indah. Namun bumi Allah yang begitu luas masih menanti kita. Mengalukan kedatangan untuk kita belajar mensyukuri setiap butir pasir ciptaan Tuhan.
| Pemandangan indah gunung-gunung di Banjaran Alps |
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri
Bijak sungguh orang-orang lama mencipta peribahasa ini. Cukup indah. Kini kami benar-benar faham maknanya yang tersirat. Ya, memang di luar negara jauh lebih baik. Tambah-tambah di Eropah. Segala kemudahan dan fasiliti cukup lengkap. Bagi yang gemar barangan berjenama, di sini adalah syurga buat mereka. Jika hendak membeli barangan dapur tidak perlu habis beratus-ratus seperti di tanah air sendiri sedangkan barangan yang dibeli bukanlah mewah mana. Begitu juga dengan pakaian dan keperluan harian. Gel mandian boleh dibeli semurah 59 sen sebotol! Seekor ayam mentah harganya Eur 3.00 di sini. Setiap anak-anak di beri elaun sara hidup tanpa mengira pendapatan bulanan ibubapa. Cuti bersalin bergaji penuh sehingga 6 bulan. Hati mana yang tidak teruja?
Namun apabila pejam mata, tarik nafas dalam-dalam dan keluar melihat keadaan sekeliling. 'Rambut tidak sama hitam'. Jenaka lawak mereka bukan gaya kita. Pernah anda terfikir mengapa sesumpah menukar warna yang sama dengan persekitarannya? Banyak yang berbeza. Terlalu banyak. Walaupun di mulut mengkagumi mereka namun di hati.. kita sahaja yang tahu. Sehinggakan jika anda terjumpa 'Made in Malaysia' anda sudah mampu tersenyum.
Hendak seribu daya
Pernah terbaca jika kita travel boleh menjadikan kita lebih kreatif. Pelik juga pada mulanya. Namun, akhirnya kami menyedari hakikat itu. Di luar, kita boleh melihat bagaimana mereka mencari rezeki. Bagaimana mereka menghargai dan menggunakan kelebihan yang mereka ada. Bagaimana mereka berfikir untuk memajukan diri dan negara sendiri.
![]() |
| Cube House terletak di Rotterdam - salah satu tarikan pelancong untuk datang ke Rotterdam |
| English man tidak berkepala di sekitar Tower Bridge, London |
Melanconglah jika anda punya kesempatan. Apa salahnya menabung untuk keluar melihat bumi Tuhan?
Ikhlas dari kami,
Disclaimer: Ini adalah pandangan peribadi penulis. Mungkin sama dengan anda mungkin juga berbeza.



No comments:
Post a Comment