20 June 2016

Lepat Pisang: Ubat hati yang merindu..

Lepat Pisang. Mungkin saya memang dilahirkan sebagai pencinta tegar kuih muih tradisi melayu. Sudah lama teringin nak makan lepat pisang. Kalau nak tahu, sejak di Malaysia lagi saya teringin untuk membuat lepat pisang sendiri namun tak terbuat! Kebetulan ada banyak pisang di rumah yang sudah hampir lebam. Jadi cepat-cepat saya lenyek untuk dibuat lepat. Biasanya saya akan buat cekodok pisang atau kek pisang sahaja tapi kali ini keinginan nak makan lepat pisang makin membuak-buak. Resepi lepat pisang ini bukan turun-temurun daripada arwah mak yang memang pakar membuat kuih muih tradisi. Tahun berlalu, saya pun dah ingat-ingat lupa resepi arwah mak. Tapi resepi ini saya lihat di blog Azie Kitchen. Terima kasih kak Azie untuk resepi yang sedap ini.


Lepat Pisang Athlone

Inilah rupa luar lepat pisang saya yang telah dikukus. Terlupa untuk ambil gambar yang telah dibuka daun pisangnya. Resepi dari blog kak Azie ini memang boleh dipuji. Memang sedap. Dan InshaAllah jadi. 

Resepi Lepat Pisang (saya ubah sedikit untuk sesuaikan dengan bahan yang ada)

13 biji pisang yang ranum
1 cawan tepung gandum
Setengah cawan dessicated coconut (saya campur sedikit santan dan garam, panaskan dalam microwave)
2 sudu besar gula pasir 
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil garam 

Daun pisang untuk membungkus lepat


Cara-caranya:
1) Lenyek pisang. Jangan terlalu hancur. Tinggalkan sedikit ketulan-ketulan pisang.
2)Masukkan gula perang, gula pasir dan garam. Kacau sebati.
3)Masukkan tepung. Kacau sebati

Cara membalut: 
1)Ambil daun pisang. Letak adunan lepat dua sudu besar (atau agak-agak saiznya). Ratakan atas daun pisang membentuk bulatan. Letak kelapa di atas adunan. 
2)Bungkus dan susun dalam loyang pengukus.
3)Kukus 20 minit. Pastikan didih air dalam pengukus terlebih dahulu. 
4)Siap dan hidang!

Memang mudah sangat cara membuat lepat. Tapi sayang anak-anak saya tidak gemar memakannya. Mereka lebih suka karipap! Jadi lepat ini, saya sahaja yang habiskan. Ubat hati yang merindu..

Ingin berkongsi pengalaman kami bermain salji di Ireland? Klik di sini.




No comments:

Post a Comment

Back to Top