13 June 2016

Resepi mudah Agar-agar Santan Gula Melaka

Selamat menjalani ibadah puasa buat muslimin dan muslimat yang berada di seluruh dunia. Alhamdulillah berkesempatan lagi tahun ini untuk berada dalam bulan mulia. Bulan yang lebih baik daripada 1000 bulan. Pada bulan Ramadhan, umat-umat Islam akan mengerjakan ibadah sunat yang khusus dalam bulan Ramadhan sahaja iaitu solat terawih. Solat terawih dilakukan selepas menunaikan solat Isya'. Ibadah yang diwajibkan dalam bulan Ramadhan pula ialah puasa. Puasa adalah menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Bukan sahaja kita berpuasa perut (dari makan dan minum), mulut, kaki dan tangan juga harus berpuasa dari melakukan dosa. 

Tiga tingkatan puasa

Menurut Imam Ghazali, ada 3 tingkatan puasa:

1) Puasa umum - puasa yang menahan lapar, dahaga dan tidak melakukan jima' bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. 

2) Puasa khusus - Melakukan syarat yang pertama juga menjaga anggota badan lain dari melakukan maksiat atau perkara-perkara yang haram. Contohnya: menjaga telinga, mulut, kaki,tangan,mata daripada melakukan dosa.. Ops! Jari pun.. yalah sekarang ini semua perkara dihujung jari. Taip saja di keyboard, keluar macam-macam. Ada juga muat naik status pelik-pelik sehingga boleh memutuskan hubungan silaturahim. Hebatkan penangan jari jemari?

3) Puasa istimewa - Melakukan perkara pertama dan kedua serta menjaga hati dari banyak memikirkan hal-hal dunia. Oh, bab hati ni memang susah sikit. Kadang-kadang tidak mengata di mulut kita mengata di hati. Ataupun sentiasa susah hati menunggu gaji tak naik-naik lagi. Susah hati fikirkan itu dan ini. Cemburu. Belum lagi bab-bab tidak puas hati dan makan hati dengan perkara-perkara duniawi.. betulkan? Sebagai manusia biasa kita perlu saling ingat mengingati.

Pemanis mulut


Sebut pasal pemanis mulut, apa juadah yang anda suka sebagai hidangan pencuci mulut. Bagi saya selain buah kurma, agar-agar sesuai sangat dijadikan juadah pemanis mulut. Agar-agar yang lembut, sejuk, nyaman saja rasa bila makan. Entri kali ini saya nak kongsi resepi agar-agar yang cukup mudah membuatnya iaitu Agar-agar santan. Agar-agar santan ini punya 2 versi. Agar-agar santan ada telur dan agar-agar santan tanpa telur (sesuai untuk mereka yang alah telur). Saya ingin kongsi agar-agar santan yang diletak telur. Bagus juga ada sumber protein dalam agar-agar selain daripada karbohidrat (gula) dan serat (agar-agar). 

Resepi ini memang tidak ikut buku. Kalau saya nak buat agar-agar memang sentiasa hadkan 10g agar-agar dan 4 cawan air. Memang itulah cara saya. Arwah mak yang ajar.

Bahan-bahan yang perlu:

10g agar-agar (serbuk agar-agar atau agar-agar tali)
180 ml santan 
sebiji telur
secawan gula perang (brown sugar) atau gula melaka (gula melaka biasanya kurang manis jadi tambah lagi kuantitinya jika perlu)
Setengah sudu kecil garam
Daun pandan

Cara-caranya:

1) Didihkan 10g agar-agar bersama 4 cawan air dalam periuk. Kacau sehingga kesemua agar-agar larut. (Tetapi jika guna agar-agar serbuk boleh dicampurkan sekali dengan gula perang dan daun pandan kemudian didihkan)

2) Masukkan daun pandan dan gula perang. Kacau lagi sehingga gula larut. 

3) Masukkan santan dan telur ke dalam cawan. Kacau hingga sebati telur dan santan. Tuang campuran santan dan telur ke dalam periuk berisi agar-agar yang mendidih. Kacau agar-agar supaya sebati kemudian berhenti seketika sehingga agar-agar naik berbintil. 

4) Tutup api. Tuang ke dalam acuan dan sejukkan.




Untuk resepi Agar-agar santan Sakura, boleh lihat di Instagram saya. @bynuryusuf

atau klik di sini 


Selamat mencuba ya!

Saya ada berkongsi cara-cara dan tips menyediakan aiskrim yang lembut dan enak. Boleh baca di sini (klik)

1 comment:

  1. wah bestnya..teruja baca, buat dok juga..heheeh

    ReplyDelete

Back to Top